Rasulullah bersabda yang bermaksud;
Memandang wajah ibu bapa dengan penuh kasih sayang adalah satu ibadat.
...........................................................................................................
Daripada Mu'awiyah bin Jahimah As-Salami, Jahimah datang kepada Rasulullah, lalu berkata: “Wahai Rasulullah, aku ingin pergi berperang dan aku sekarang datang minta nasihat kepada tuan.”
Baginda bertanya: “Apakah kamu masih mempunyai ibu?”
Dia menjawab: “Masih.”
Baginda bersabda: “Uruslah dia, kerana syurga di bawah kedua kakinya.” (Hadis riwayat Nasa'i, Ahmad dan Ibnu Majah)
Rasulullah memahami keinginan Jahimah untuk pergi berperang dan pada masa sama mengetahui ibu Jahimah sakit dan perlukan penjagaan. Namun, Baginda memerintahkannya mengurus ibunya kerana dengan mengurus ibunya, dia akan mendapatkan balasan syurga. Subhanallah, ada saat tertentu di mana menjaga ibu sakit lebih utama daripada berjihad di jalan Allah.
Menerusi hadis itu, Baginda dengan tegas menerangkan keistimewaan yang Allah berikan kepada ibu, pemegang kunci syurga anak-anaknya. Jika anak mereka berbakti kepada ibunya sesuai dengan tuntutan Islam, Allah akan memudahkan mereka masuk ke syurga. Sebaliknya, jika anak itu derhaka kepada ibunya, pintu syurga menjadi sukar untuk mereka lalui.
Kehormatan tinggi seperti ini hanya menjadi hak seorang ibu dan tidak menjadi hak seorang bapa. Ini membuktikan bahawa Islam benar-benar mengangkat martabat dan darjat kaum wanita, memperlakukannya begitu terhormat sehingga dijadikan penentu bagi anak-anaknya untuk memasuki syurga stau sebaliknya.
Firman Allah, yang bermaksud: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya, ibunya mengandungkannya dengan susah payah, melahirkan dengan susah payah pula, mengandungkannya, menyusukan sehingga 30 bulan, sehingga apabila dia dewasa dan berumur 40 tahun, dia berkata: Wahai Tuhanku, tunjuklah aku supaya aku mensyukuri nikmatmu yang dengannya Engkau merahmati aku dan ibu bapa, dan supaya aku dapat membuat amal salih yang Engkau redai, berilah kebaikan (perbaikilah aku) kepadaku, dengan memberikan kebaikan kepada anak cucuku. Sesungguhnya, aku bertaubat kepada Engkau, dan aku termasuk orang yang berserah diri. Mereka itulah orang yang kami terima daripada mereka amal yang baik, yang mereka kerjakan, dan kami ampuni kesalahan mereka bersama penghuni syurga sebagai janji benar yang dijanjikan kepada mereka,”(Surah al-Ahqaf, ayat 15-16).
